
Gosok atau flos gigi; yang mana dulu?
Pernahkah anda tertanya-tanya sepatutnya yang manakah urutan pembersihan gigi yang betul, sepatutnya kita berus gigi dahulu atau flos gigi? Sebenarnya sudah ada kajian saintifik yang membuktikan urutan yang paling ideal untuk mendapatkan kebersihan mulut yang optimum.
Saintis mendapati penggunaan flos gigi sebelum menggosok dengan berus gigi adalah kaedah terbaik untuk menanggalkan sisa makanan (plak gigi). Turutan sebegini turut meningkatkan serapan fluorida daripada ubat gigi, menjadikan lapisan enamel gigi menjadi lebih kuat.
Jadi sekarang anda sudah tahu bahawa dua langkah mudah untuk menjamin kebersihan mulut anda. Sebenarnya penjagaan kesihatan gigi bukanlah sekadar berjumpa dengan doktor gigi ketika sakit, tetapi kita seharusya memainkan peranan penting dengan mengamalkan teknik penjagaan gigi yang betul. Mencegah sudah semestinya lebih baik daripada merawat.
Peranan anda dalam penjagaan gigi:
Gosok gigi selama dua minit setiap kali selepas makan, kalau tidak berkesempatan, sekurang-kurangnya berkumur dengan air.
Flos gigi sekurang-kurangnya sekali sehari; sebelum memberus gigi.
Pastikan gigi anda sudah dibersihkan sebelum masuk tidur.
Jumpa doktor gigi untuk pemeriksaan berkala setiap enam bulan sekali.
Elakkan makanan dan minuman manis.